Raudhah Islamic School (RIS) Kampus Vista Valley, Semenyih dengan kerjasama RIS Kampus Putra Kajang, RIS Kampus Diplomatik Putrajaya, Raudhah Montessori Centre (RMC), Raudhah Children Centre (RCC) dan Raudhah Secondary School (RSS) telah menganjurkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Festival Mewarna sempena Bulan Kemerdekaan 2024. Program yang bertemakan Malaysia Madani; Jiwa Merdeka ini telah dijalankan pada 25 Ogos 2024 bertempat di Tenby International School, Setia Ecohill Semenyih telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari sekolah-sekolah sekitar. Program yang julung-julung kali dianjurkan ini telah mendapat perhatian dan dirasmikan oleh Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz, Ahli Dewan Negeri Selangor (DUN Semenyih).
Gimik Perasmian Pembukaan Program serta perasmian oleh Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz, Ahli Dewan Negeri Selangor (DUN Semenyih)
Menurut Pengerusi Raudhah Islamic Sdn. Bhd., Tuan Mohd Fauzi Bidin, atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Fauzi, melalui pertandingan yang dianjurkan ini juga dapat mengasah bakat serta menanamkan sifat keberanian murid-murid dalam mewakili sekolah serta dapat mengeratkan hubungan antara Raudhah Islamic School dengan sekolah-sekolah sekitar yang terdiri daripada SK, SJK, dan sekolah-sekolah swasta yang lain. Demi menjayakan program ini, pihak sekolah telah memperuntukkan bajet yang agak besar, dengan harapan peserta-peserta yang menyertai pertandingan yang dianjurkan ini gembira dan ramai yang dapat membawa pulang hadiah ke rumah masing-masing. Bagi setiap kategori yang dipertandingkan dalam Festival Mewarna ini, johan telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, naib johan RM200, tempat ketiga RM100, dan 17 tempat saguhati membawa pulang wang tunai sebanyak RM50 setiap seorang.
Ujarnya lagi, sejak RIS ditubuhkan hampir 10 tahun yang lalu, program sebegini telah beberapa kali dianjurkan, dan pada tahun 2024 ini, Alhamdulillah pasukan Raudhah Islamic School Kampus Vista Valley Semenyih dengan kerjasama kampus-kampus yang lain telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan, sesuai dengan usaha keras mereka semua yang telah bertungkus-lumus selama beberapa bulan demi menjayakan program ini.
Pertandingan Persembahan Patriotik
Bagi Pengarah Program, Cikgu Amira, mengenang kembali ketika diberi tanggungjawab untuk menggalas amanah sebagai Pengarah Program beberapa bulan yang lalu, beliau tidak menyangka sambutan pada kali ini amat meriah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Semenyih yang sudi bekerjasama dalam menjayakan gimik sempena perasmian pembukaan acara program tersebut. Selain itu, dengan penampilan dan perkongsian daripada Ustaz Mohd Nasrullah Che Halim (Ustaz Kartun) sebelum pertandingan bermula, memberi suatu galakan dan semangat buat semua para peserta bagi menghasilkan karya yang terbaik dalam pertandingan tersebut.
“Memandangkan program kali ini menggabungkan dua program yang besar iaitu Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Festival Mewarna, saya lebih banyak fokus kepada Sambutan Bulan kemerdekaan iaitu menguruskan acara-acara seperti Pertandingan Payung Berhias, Pakaian Bertemakan Kemerdekaan, dan Pertandingan Persembahan Terbaik dari setiap cawangan. Untuk mengetuai program Festival Mewarna, saya serahkan kepada rakan sekerja, Cikgu Fatin Fasehhah, dan Alhamdulillah beliau bersama-sama barisan pengurusan sekolah, Guru Besar, Guru Penolong Kanan dan rakan-rakan sekerja yang lain memberikan kerjasama dan komitmen yang sangat baik”. – Ujar Cikgu Amira.
Peserta Festival Mewarna Raudhah 2024
Gerai-gerai jualan yang disediakan oleh penganjur memeriahkan lagi suasana program.
Menurut Guru Besar RIS Kampus Vista Valley Semenyih, En. Mohd Hafizullah Yatim, pertandingan Festival Mewarna pada kali ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu pertandingan mewarna bagi murid-murid Tahun 1-3, dan pertandingan melukis bagi murid-murid tahun 4-6. Seramai 260 orang peserta telah mendaftar untuk pertandingan bagi kedua-dua kategori tersebut yang terdiri daripada murid-murid di sekitar Semenyih, Kajang dan Putrajaya. Jelasnya lagi, dianggarkan hampir 1000 orang ibu bapa dan murid-murid telah hadir bagi memeriahkan dan menjayakan kedua-dua program yang dianjurkan secara serentak tersebut. Secara peribadi, beliau berasa amat bersyukur kerana segalanya telah berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang baik daripada kalangan murid-murid, guru-guru, kakitangan sokongan dan juga para ibu bapa.
Barisan Penggerak Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Festival Mewarna Raudhah 2024
“Memandangkan program pada kali ini mendapat sambutan dan kerjasama yang sangat luar biasa daripada pelbagai pihak, maka wajarlah untuk program seperti ini menjadi program tahunan sekolah ini dan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. “Raudhah Islamic School akan berusaha melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja menumpukan pembelajaran dalam bidang akademik dan sahsiah di dalam bilik darjah semata-mata, malah berusaha membentuk individu yang berdaya saing serta bersepadu bagi menghadapi cabaran semasa. Kami di barisan kepimpinan pengurusan juga akan berganding bahu dalam usaha menambah baik setiap program dan aktiviti yang dianjurkan dari semasa ke semasa sesuai dengan moto kami ‘Tarbiyah Syumul, Sahsiah Unggul’,” akhiri Mohd Hafizullah.


