Raudhah Islamic School Logo
REGISTER NOW!

RAUDHAH 8th APPRECIATION & EXCELLENCE AWARDS CEREMONY 2025

Raudhah Appreciation & Excellence Awards Ceremony kali ke-8 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada Sabtu, 13 Disember 2025 bertempat di Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis tahunan berprestij ini diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan murid sepanjang sesi persekolahan 2025, di samping meraikan pelajar Tahun 6 yang bakal melangkah ke fasa pendidikan seterusnya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh dua tokoh ilmuwan dan pendakwah tersohor negara iaitu Yang Berbahagia Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Srikandi Negara merangkap Pendakwah Wanita dan Tokoh Pendakwah Negeri Pulau Pinang, serta Yang Berbahagia Ustaz Wan Akashah bin Wan Abdul Hamid, tokoh pendidik dan pakar motivasi yang tidak asing lagi dalam dunia pendidikan Islam. Kehadiran kedua-dua tokoh ini telah menambahkan nilai dan makna kepada penganjuran majlis.

Pelbagai anugerah berprestij telah disampaikan bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa para murid, antaranya Anugerah Kecemerlangan Akademik dan KAFA, Anugerah Pengiktirafan Khas kepada murid SRAI Ar Raudhah yang berjaya memenangi Pertandingan Inovasi 3R anjuran Sinar Harian, serta Anugerah Pencapaian Terbaik UPKK 2024, PSRA 2025 dan UPSRA 2025. Turut diraikan ialah penerima Anugerah Pencapaian Terbaik PSRA & UPSRA dan Anugerah Tokoh Kecemerlangan sebagai simbol keunggulan holistik murid Raudhah Islamic School.

Majlis turut mencatat detik paling bermakna apabila adik Amirul Aiman bin Faiz dari SRAI Ar Raudhah Putrajaya diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Holistik, iaitu anugerah tertinggi yang melambangkan kecemerlangan menyeluruh dari aspek akademik, sahsiah, kepimpinan dan potensi diri. Kejayaan ini diharapkan menjadi inspirasi kepada seluruh warga murid Raudhah.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Penaja Utama Program, Yang Berhormat En. Mohamed Zaimi bin Mohamed Zain, atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan majlis ini.

Program turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kreatif daripada semua kampus Raudhah serta persembahan khas pelajar Tahun 6, yang bukan sahaja menghiburkan malah menyentuh emosi para hadirin.

Secara keseluruhannya, 8th Raudhah Appreciation & Excellence Awards Ceremony 2025 bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, tetapi menjadi simbol penghargaan, motivasi dan bukti komitmen Raudhah dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing untuk masa hadapan.